Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad perlu diberi kebebasan membentuk pasukan kepimpinan baharu anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata peletakan jawatan ahli lembaga pengarah FIC seperti diminta oleh pengerusi FELDA akan memastikan ketelusan serta melancarkan lagi penstrukturan semula FIC.

"Pembentukan barisan kepimpinan FIC ini akan menjadi perkara utama dan elemen paling kritikal untuk dilaksanakan serta diselaraskan bersesuaian dengan penyusunan semula badan pelaburan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Barisan baharu Lembaga Pengarah FIC diumum awal Februari

BACA: FELDA akan jual aset untuk kukuhkan aliran tunai

Shahrir dilaporkan mengarahkan semua ahli lembaga pengarah FIC meletak jawatan dalam usaha untuk menyusun semula syarikat tersebut.

FIC merupakan anak syarikat Felda yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

Razali berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Shahrir yang memberi penekanan kepada penstrukturan semula FIC dalam usaha membawa Felda terus berkembang maju.

Penstrukturan FIC itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan aspirasi kerajaan untuk menjadikan agensi kerajaan dan badan berkanun menjunjung urus tadbir yang baik dan budaya kerja yang berintegriti.

"Besar harapan saya agar penstrukturan semula yang dirancang ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya dan sekali gus dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada warga peneroka iaitu 'stateholder' terpenting Felda dan mengembalikan semula Felda ke zaman kegemilangannya seperti suatu masa dahulu," katanya.

Katanya FIC yang merupakan badan yang bertanggungjawab mengendalikan pelbagai perusahaan pelaburan kumpulan FELDA sudah tentu perlu diberi penambahbaikan dan dimantapkan bagi memastikan segala pelaburannya dapat membawa keuntungan.

-- BERNAMA