KUALA LUMPUR: Pengendalian dron di kawasan terlibat penutupan ruang udara dalam Kuala Lumpur Terminal Control Area (TMA) sebelum dan pada Hari Kebangsaan adalah dilarang, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata larangan tersebut, adalah bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini, terutamanya yang membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang awam serta pesawat-pesawat yang sedang beroperasi.

"Pengunaan dron tanpa kelulusan dikuatiri akan mengganggu latihan dan pertunjukan udara, sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di Putrajaya pada 31 Ogos.

"Aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh CAAM dan Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau sebarang operasi dron tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Norazman berkata sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam dan harta benda, adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 ( Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Arahan Penerbangan Awam (CADs).

-- BERNAMA