HULU TERENGGANU: Seorang lelaki yang baru seminggu berkahwin dikhuatiri lemas semasa mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira 6.20 petang berhubung kejadian yang menimpa Ami Azzizol Abu Bakri, 22, yang berasal dari Dungun.

Katanya sebelum kejadian yang berlaku pada 5.50 petang itu, beberapa saksi termasuk ahli keluarga Ami Azzizol melihat lelaki itu berenang dari sebuah rumah rakit ke dalam Sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi.

Operasi SAR | Pemuda dikhuatiri lemas ketika berenang di Sungai Petuang


"Tidak lama kemudian saksi nampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot. Seorang daripada saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu. Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan," katanya dilaporkan Bernama.

Katanya operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan semalam oleh 46 orang yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam, namun tidak menemukan sebarang petunjuk.

"Pencarian diteruskan hari ini sekitar 8 pagi," katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat diperluaskan pada Ahad namun sehingga malam Ahad, mangsa belum ditemui.