ALOR SETAR: Polis menahan soerang lelaki warga asing berusia 43 tahun di Masjid Bukit Pinang di sini pada Isnin susulan penemuan mayat dua individu di dalam longkang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata hasil risikan pantas polis berjaya membuat tangkapan tersebut pada jam 9 malam Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif kejadian.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar bagi mendapatkan tahanan reman pada Selasa untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin, mayat dua individu, itu ditemukan dalam longkang di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala.

Siti Nor Salawati berkata, mayat seorang wanita dewasa dan seorang dipercayai kanak-kanak perempuan ditemui orang awam sebelum bertindak menghubungi pihak polis pada jam 5.04 petang.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan pasukan penyiasat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dihantar ke lokasi.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mayat lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang.

“Pada mayat turut menemui kesan kelar pada leher kedua dua mayat. Kedua-dua mayat yang dipercayai warganegara asing berusia 34 dan 10 tahun itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.