Penganjur Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 (Himpunan 405) pada Sabtu hanya mahu mengelirukan rakyat seolah-olah ia usaha mempertahankan kedaulatan negara serta agama Islam.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia hanya membuang masa dan merupakan kerja yang sia-sia selain tidak mempunyai sebarang isu.

“Asasnya mereka tak mahu kita tandatangani Statut Rom dan kerajaan pun sudah menarik balik dari menandatanganinya, apa lagi yang menjadi isu berbangkit?

“Realitinya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang benar-benar jujur mempertahankan kedaulatan negara dan agama Islam. Kami lawan sampai masuk penjara tetapi pemimpin-pemimpin UMNO serta Pas sokong kemungkaran para kleptokrat sehingga kini.

UMNO dan Pas hanyalah parti politik yang hipokrit. Mereka tunjangi kerajaan kleptokrasi dahulu. Agama Islam suruh melawan rasuah tetapi dahulu Pas sokong kemungkaran Datuk Seri Najib Razak serta Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

BACA: Himpunan 405 tuntut Peguam Negara letak jawatan, didakwa gagal pertahan institusi diraja

BACA:
TMJ jangan cakap isu yang tidak difahaminya - Khairuddin

Pada Sabtu Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan atas dakwaan gagal mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang menimbulkan provokasi terhadap institusi diraja.

Dalam ucapannya pada Himpunan 405, Asyraf berkata, kebangkitan ummah tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang cuba menyentuh institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Negara.

Dalam pada itu Khairuddin memberitahu, keseluruhan perserta Himpunan 405 agar lebih baik menasihati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) turun jawatan dan memasuki politik secara sepenuh masa.

“Kalau TMJ ceburi politik secara sepenuh masa; saya amat menghormatinya,” jelasnya.

“Siapa pun tidak akan kritik TMJ lagi. Untuk pengetahuan TMJ, kami adalah kalangan yang membela institusi raja-raja Melayu secara bermati-matian.

“Sebab itu bila negara dirosakkan dengan begitu teruk oleh Najib Razak, UMNO dan BN, kami menghantar pelbagai memorandum Deklarasi Rakyat kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” tegasnya.

Namun Khairuddin mempersoalkan di mana TMJ pada waktu negara menghadapi polemik rasuah dan salah guna kuasa ketika itu.