KUALA LUMPUR:Kepakaran tempatan perlu digunakan sepenuhnya berbanding kepakaran asing bagi membantu kerajaan dalam meneroka sumber unsur nadir bumi (REE) di negara ini.

Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi Tenaga, Mineral dan Bahan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Hafidz Yusoff, ruang dan peluang itu dijangka memberi manfaat mengembangkan kepakaran tempatan dalam jangka panjang kepada negara.

"Kita perlu mengutamakan kepakaran tempatan daripada kepakaran luar, kita tidak boleh nafikan negara luar seperti China, Australia mempunyai kepakaran lebih dalam bidang ini kerana telah melombong REE terlebih dahulu.

"Kita juga mempunyai ramai tenaga pakar, jadi kita perlu memberi ruang dan peluang kepada kepakaran tempatan sebagai pelaburan jangka masa panjang. Mungkin kalau kita lihat jangka pendek, kita panggil kepakaran luar datang dan proses, cuma kepakaran jangka masa panjang kita perlu beri ruang kepada tenaga pakar tempatan.

"Di Malaysia pun mempunyai banyak universiti tenaga pakar dalam bidang ini, contohnya Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam pun ada," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Khamis.

Malah jelasnya, agensi kerajaan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dapat membantu usaha terbabit.

"Bagi saya sewajarnya, khazanah negara ini diuruskan tenaga pakar tempatan berbanding tenaga luar," katanya lagi.

Malah kajian yang dijalankannya bersama beberapa penyelidik UMK turut mengesan kehadiran mineral itu di Kelantan, Pahang dan Terengganu. Bagaimanapun, kajian lanjut masih dijalankan ketika ini.

"REE di Malaysia bukan terdapat di Kedah malah banyak kawasan lain. Kajian 2018 menunjukkan ada hubungan mineral itu dan emas. Jadi, seperti kita maklum terdapat banyak sekali emas di Pahang dan Kelantan serta Terengganu.

"Kemungkinan juga sumber ini banyak di Pahang, Kelantan dan Terengganu, dan beberapa kajian awal dijalankan, saya sendiri dan penyelidik UMK menunjukkan terdapat potensi sumber itu di beberapa kawasan tertentu di Kelantan.

"Cuma kita masih menjalankan kajian lanjut untuk membuktikan kewujudan REE di Kelantan. Untuk meningkatkannya lagi, sumber ini satu perlombongan baru di Malaysia, jadi perlu diwujudkan institusi atau pusat kajian yang lebih banyak untuk mengkaji tentang sumber terbabit," katanya lagi.

Untuk rekod, Malaysia memiliki potensi sumber unsur nadir bumi (REE) yang boleh dibangunkan bernilai RM747.2 bilion.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media sebelum ini berkata terdapat REE di Sik, UIu Muda di Baling, Kedah serta sedikit di Lenggong, Perak bernilai RM66 billion.