SENTUL: Polis membuka kertas siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran di dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai percaya, berdasarkan siasatan awal, klip video berdurasi satu minit 39 saat yang tular di platform TikTok berhubung penemuan selonggok al-Quran itu  berlaku, kira-kira pukul 6.30 petang, Sabtu.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 52 tahun pada pukul 11.32 pagi Ahad, selepas menemui naskhah suci itu di dalam longkang tersebut.

"Pengadu yang sedang beriadah bersama suaminya ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik.

"Hasil pemerhatian pengadu mendapati senaskhah al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar dari beg tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Poils menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 52 tahun pada pukul 11.32 pagi Ahad, selepas menemui naskah suci itu di dalam longkang tersebut. - Foto PDRM

Eng Lai menambah pengadu kemudian meminta bantuan seorang lelaki yang berada berdekatan untuk membawa naik beg terbabit.

Katanya, kesemua naskhah al-Quran berkenaan dibawa ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama untuk disimpan, sebelum laporan polis dibuat.

"Hasil siasatan awal mendapati naskhah al-Quran itu dipercayai sengaja dibuang di situ oleh individu yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau mana-mana balai polis berhampiran.