PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sekali lagi menangguhkan pendengaran rayuan kerajaan berhubung ganti rugi RM300,000 yang diberikan kepada ahli politik Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Penangguhan itu susulan bantahan Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetuai panel tersebut.

Beliau memaklumkan panel tiga hakim itu bahawa beliau menerima arahan untuk membantah Hakim Sequerah berada dalam panel tersebut.

"Ini kerana Hakim Sequerah masih mengetuai perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.

Zetty Zurina mewakili Ketua Polis Negara, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kerajaan Malaysia, pegawai Bukit Aman Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah, bekas timbalan ketua polis Dang Wangi Habibi Majinji, timbalan pendakwa raya Datuk Masri Mohd Daud dan bekas peguam kanan persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Pendengaran rayuan itu telah ditetapkan di hadapan panel terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Hakim Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Khairuddin berkata beliau tidak membantah permintaan itu dan menyatakan bahawa bantahan itu adalah wajar memandangkan latar belakang 1MDB turut dimasukkan dalam hujahnya.

Hakim Ruzima kemudian memberitahu bahawa Hakim Sequerah telah memaklumkan kepada panel bahawa beliau juga tidak selesa mendengar rayuan itu kerana perbicaraan 1MDB masih berjalan.

"Berdasarkan situasi ini, mahkamah menangguhkan rayuan dan menetapkan 19 Ogos untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran yang baharu," katanya.

Ini kali kedua pendengaran rayuan itu ditangguhkan. Kali pertama ditangguhkan adalah pada 27 Nov tahun lepas selepas mahkamah meminta pihak terlibat mengemukakan hujahan lanjut mengenai isu pendakwaan berniat jahat.

Pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan Khairuddin bagi penahanan salah dan memberikan pampasan sebanyak RM300,000.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Quay Chew Soon menolak saman bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu terhadap kerajaan bagi pendakwaan berniat jahat.

Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung liabiliti terhadap penahanan salah manakala Khairuddin merayu kedua-dua jumlah ganti rugi dan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutannya terhadap kerajaan bagi pendakwaan berniat jahat.

Dalam samannya pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau pada mulanya ditahan oleh pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Selepas dibebaskan, beliau ditahan semula pada 23 Sept 2015 di bawah SOSMA dan didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L akta sama iaitu cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan serta kewangan negara.

-- BERNAMA