JOHOR BAHRU: Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin akan ditutup hingga awal Januari tahun depan susulan isu pencemaran bakteria escherichia coli (e-coli).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata proses pengeringan kolam renang dan terjun di pusat itu akan dilakukan hari ini serta sistem penapisan kolam akan diteliti.

Beliau berkata ia bagi memastikan tahap kualiti air kolam di pusat yang berada di bawah pengurusan Damansara Assets itu selamat sebelum dibuka kepada orang awam selain bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan dilakukan termasuk penukaran jubin di kolam renang dan terjun yang dianggar melibatkan kos RM1.3 juta.

"Pusat ini akan ditutup sehingga penjadualan kebersihan Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) serta penukaran sistem antikarat dilakukan oleh Damansara Assets kerana ia (pusat akuatik) belum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata pada masa sama, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Jabatan Belia dan Sukan Johor serta Jabatan Pendidikan Negeri bersepakat menambahbaik dasar atau format dengan setiap penganjuran kejohanan perlu mendapat justifikasi pihak berkaitan bagi memastikan ia benar-benar selamat sebelum digunakan.

Beliau berkata dasar itu terpakai untuk kesemua kejohanan bagi peringkat negeri dan antarabangsa.

"Kita jadikan ini sebagai pengajaran kepada semua jabatan dan agensi supaya lebih berganding bahu dan menitikberatkan keselamatan dan aspek kebajikan," katanya.

Seramai 19 pelajar yang menyertai Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin pada 16 hingga 18 Julai lepas dirawat di hospital selepas dipercayai mengalami pelbagai gejala termasuk muntah, demam dan kulit gatal.

Mohd Hairi sebelum ini berkata sampel air yang diambil termasuk di kolam renang dan terjun pusat itu disahkan mengandungi e-coli berdasarkan hasil keputusan diperolehi daripada Jabatan Kimia, Isnin lepas.

-- BERNAMA