Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah memberi penekanan terhadap program pencegahan rasuah domestik melibatkan rakyat di peringkat akar umbi sepanjang tahun ini, kata Pengarahnya Datuk Sazali Salbi.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan melaksanakan beberapa aktiviti termasuk program tinjauan mesra ke kawasan dan jabatan yang dipilih bagi menjayakan operasi pencegahan yang boleh memberi kesan terus kepada rakyat Sabah.

"Sebelum ini kami lebih memfokuskan kepada kes-kes di peringkat mikro atau nasional. Namun pada tahun ini kami akan lebih fokuskan ke arah pencegahan di peringkat 'bawahan' agar masyarakat turut terlibat dalam program pencegahan rasuah," katanya kepada pemberita pada majlis serah dan terima tugas Pengarah SPRM Sabah, di sini hari ini.

Bekas Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Sazali kini menyandang jawatan Pengarah SPRM Sabah, mengambil tugas daripada Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap yang bertukar sebagai Ketua Pegawai Integriti Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Sazali berkata selain itu, pada tahun ini pihaknya telah diarahkan untuk membuat kajian terhadap beberapa jabatan atau agensi yang telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti rasuah di Sabah.

"Kajian yang kami lakukan berdasar maklumat yang diperoleh daripada tahun-tahun lepas, laporan audit, laporan biro pengaduan awam dan maklumat hasil daripada sisatan pegawai SPRM.

"Kajian atau analisa itu akan dilaksanakan sehingga Jun tahun ini dan selepas itu kami akan membuat tindakan susulan berdasarkan kajian yang telah kami jalankan," katanya.

Pada masa sama, Sazali berharap semua penjawat awam di Sabah dapat memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha membanteras gejala rasuah di negeri ini.

"Sila tampil, sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti rasuah di jabatan atau agensi masing-masing," katanya.

Sementara itu, Shaharom Nizam percaya dengan pengalaman yang luas dalam bidang siasatan, Sazali mampu mengharumkan lagi nama baik SPRM Sabah.

"Saya meminta agar semua warga kerja SPRM Sabah dapat memberi kerjasama yang baik kepada pengarah baharu agar semua program pencegahan dapat dilaksanakan dengan cemerlang," katanya.

-- BERNAMA