Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli politik bagi menjayakan kempen pencegahan aktiviti rasuah sepanjang Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahannya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata langkah itu sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa dan bukan hanya pada musim pilihan raya.

"Dalam soal pemantapan integriti dan pencegahan rasuah, memang kita laksanakan sepanjang masa.

"Kita juga telah mengadakan engagement (kerjasama) dengan sektor politik, berhubung dengan aspek pencegahan rasuah dalam institusi politik antara parti-parti kedua-dua belah pihak," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut Mustafar, langkah pemantapan integriti baik dalam kalangan semua ahli parti politik Barisan Nasional mahupun pembangkang mampu memberikan kesan yang baik kepada negara.

Tambahnya setakat ini, kerjasama yang diberikan semua pihak dalam memastikan kempen pencegahan rasuah berjalan lancar dan sangat menggalakkan.

"Apa bencana yang boleh dibawa oleh rasuah? Rasuah bukan hanya oleh kerana siapa, tetapi bencana yang boleh dibawa oleh kerana rasuah. Jadi dalam pelbagai pemilihan, kerjasama dengan pelbagai pihak sangat menggalakkan," kata beliau.

Beliau pada masa sama mengingatkan pihak terlibat tidak mempolitikkan isu rasuah bagi mengelak berlaku fitnah atau persepsi negatif terhadap individu tertentu.

"Apabila ada isu rasuah dipolitikkan, maka orang akan ada kecenderungan untuk menumpukan kepada individu-individu tertentu," ujarnya lagi.