Kimberley Motley, penasihat undang-undang antarabangsa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dilantik, hari ini cuba mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengapa beliau tidak dibenarkan bertemu bekas ketua pembangkang itu di Penjara Sungai Buloh.

Ketika ditemui di perkarangan KDN di sini, Motley berkata beliau diberitahu bahawa pegawai berkenaan tidak berada di pejabat bagi memberi penerangan kepadanya.

Motley, yang berpejabat di Amerika Syarikat dan dijadual meninggalkan Malaysia esok, berkata beliau akan cuba menemui Anwar pada prosiding mahkamah berikutnya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.