KUANTAN: Hasrat seorang pemuda berkunjung ke rumah tunangnya di Kampung Batu Balai, Jerantut untuk makan tengah hari tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan di KM 9 Jalan Benta-Jerantut, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata kemalangan kira-kira 1 tengah hari itu menyebabkan Ahmad Solihin Fazuni, 21, yang menunggang motosikal dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang melalui jalan berselekoh telah bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Lori terbabit dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dalam perjalanan dari Jengka, Maran ke Gua Musang, Kelantan untuk menghantar tandan sawit.

"Mangsa (Ahmad Solihin) yang bekerja sebagai barista dalam perjalanan dari Kelantan ingin singgah ke rumah tunangnya untuk makan sebelum ke tempat kerja di Setapak, Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana pihak yang melihat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA