Semua penumpang yang berlepas dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini akan menjalani pemeriksaan suhu badan melalui penggunaan alat pengimbas haba yang ditempatkan sebelum kawasan daftar masuk.

Pemeriksaan untuk penumpang yang berlepas bermula hari ini sehingga sehingga notis selanjutnya, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang mengendalikan KLIA serta 38 lapangan terbang lain di negara ini.

"Ini adalah salah satu usaha kami untuk memerangi penularan COVID-19 dan memastikan keselamatan semua penumpang dan komuniti di lapangan terbang," kata MAHB menerusi catatan di media sosial.

MAHB berkata alat pengimbas haba itu ditempatkan di antara pintu masuk ke kaunter daftar masuk B dan C, serta kaunter H dan I.

Hanya penumpang, kakitangan dan anak kapal yang berlepas dengan suhu badan di bawah 37.5 darjah Celsius dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk, kata operator lapangan terbang itu.

"Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk. Pengecualian akan diberikan untuk seorang penjaga kanak-kanak atau penumpang yang memerlukan bantuan khas, "katanya.

Seseorang yang tidak dibenarkan masuk perlu memaklumkan kepada syarikat penerbangan dan disyorkan untuk segera pergi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kesihatan, kata MAHB.

-- BERNAMA