KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilihat memasuki pintu 1 Istana Negara sekitar jam 8.20 pagi.

Difahamkan, Perdana Menteri dijangka mempersembahkan senarai jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023

Khamis malam, Anwar berkata berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri menambah pembentukan barisan menteri perlu dilakukan segera dan dijangka dapat diumum dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Begitu pun, sejak semalam khabar angin bertiup kencang mendakwa Perdana Menteri akan mengumumkan barisan Kabinet pada petang ini.

Pembentukan Kabinet: Pengumuman akan dibuat PM ke-10 esok?

Media juga melaporkan, jika perkara itu berlaku kemungkinan besar Anwar hanya akan mengumumkan sebahagian senarai Kabinet sahaja.

Anwar sebelum ini, menegaskan saiz Kabinet di bawah pentadbirannya akan dikecilkan, selain tidak memberi ruang kepada mereka yang dilabel sebagai 'Kluster Mahkamah'.

Bagaimanapun, beberapa nama yang bakal mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), portfolio kedua tertinggi dalam negara, dan jawatan penting lain termasuk Kementerian Kewangan, masih menjadi teka-teki.

Presiden PKR itu juga mengesahkan jawatan TPM kemungkinan besar diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai parti induk dalam Kerajaan Perpaduan.

Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang pengesahan sama ada Perdana Menteri akan mengumumkan Kabinet pada petang ini atau sebaliknya.