SEREMBAN: Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bernilai RM22,058.60 pada tahun 2022 dan tahun lalu.

Tertuduh, Foziana Isa, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu pembantu tadbir didakwa dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya iaitu satu dokumen baucar bayaran bagi pembekalan barang keperluan pejabat yang berjumlah RM4,757.10 dan RM17,301.50 kepada Kolej Vokasional Dato Undang Haji Muhammad Sharip.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu seperti mana dalam lampiran Nota Minta dan Pesanan Sekolah (Lampiran) sebuah syarikat kepada kolej vokasional berkenaan yang mana sebenarnya pembekalan tersebut tidak dibuat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kolej vokasional berkenaan pada 5 Disember 2022 dan 6 Januari 2023.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM8,000 dengan menyatakan penjamin selain daripada suami.

Peguam, Noramin Petra Nor Hanapiah memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan suami tertuduh juga bekerja sebagai pembantu tadbir dan perlu menanggung enam anak masih bersekolah.

Katanya, tertuduh juga tiada rekod kesalahan lampau.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes pada 13 September depan. -- Sinar Harian