Seorang pelajar yang baru sahaja seminggu memulakan pengajian di Kolej Poly-Tech Mara-Kesedar Gua Musang maut setelah dirempuh secara tiba-tiba oleh sebuah bas persiaran ketika berjalan kaki pulang ke asrama bersama empat lagi rakannya, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika tiba di perhentian bas untuk menurunkan penumpang, pemandunya Mohd. Rashid Yaacob, 53, tiba-tiba pengsan menyebabkan bas hilang kawalan dan bergerak sendiri ke hadapan lalu melanggar sekumpulan pelajar terbabit.

Akibat rempuhan yang berlaku pada pukul 6.50 petang itu, pelajar yang dikenali sebagai Nurkhairunnisa Hamzah, 20, dari Rawang tercampak berhampiran longkang stesen bas berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala.

Nurkhairunnisa merupakan pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia.

Dua rakannya, Nor Aina Sofea Mohd. Salleh, cedera parah di bahagian paha serta pendarahan di kepala dan Norhasili Shafikah Hasbullah, 20, mengalami kecederaan di tengkuk.

Manakala dua lagi rakannya Siti Nurfalinda Mohd. Asri, 18, dan Nur Asila Atiqah Shaharuddin, 18, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Saiful Bahri berkata mayat Nur Kharunnisa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya pagi ini untuk dikebumikan di Rawang.

"Pemandu bas yang dilaporkan sakit perut sebelum pengsan kini sedang dirawat di HGM," katanya.

Menurutnya lagi ketika kejadian, lima penuntut KPTM itu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan mereka selepas membeli makanan di tapak ekspo bersebelahan hentian bas berkenaan.

Bas berkenaan turut melanggar sebuah kenderaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diparkir berhampiran jalan.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.