Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata semua perkhidmatan rel merangkumi transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan monorel serta transit aliran bas (BRT) laluan Sunway dan laluan bas terpilih akan beroperasi 24 jam bermula 6 pagi pada 30 Ogos hingga 11.30 malam pada 31 Ogos.
"Rapid KL turut menyediakan sehingga 60 bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula 6 petang, 30 Ogos hingga 3 petang, 31 Ogos bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya.
"Perkhidmatan yang dipertingkatkan ini dijalankan sebagai inisiatif Prasarana dalam menyokong usaha kerajaan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata sebanyak sembilan bas juga akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos.
"Pihak Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan ini buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
"Lebih 4,000 petugas barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena Merdeka 2024," katanya.
Mohd Azharuddin berkata inisiatif perkhidmatan 24 jam itu juga dapat memberi peluang kepada warga kota yang ingin hadir menyaksikan sambutan ambang merdeka diadakan di beberapa lokasi sekitar ibu negara dan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.
Justeru, beliau menjemput warga kota untuk menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bagi mengelakkan kesesakan dengan lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih.
"Prasarana dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia akan memastikan kelancaran laluan bas khas ini tidak terganggu dan anggota Polis Bantuan Prasarana akan ditugaskan untuk membantu penganjur bagi kelancaran lalu lintas," katanya.
-- BERNAMA