Memorandum cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk serta memandu di bawah pengaruh dadah (DUI) akan dibentangkan kepada Kabinet minggu hadapan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau bertekad untuk memerangi DUI kerana terlalu banyak kemalangan maut berpunca daripada perbuatan itu.

"Cukup cukuplah. Saya akan membawa memorandum kepada Kabinet untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemanduan DUI pada minggu depan," katanya menerusi hantaran Facebook di sini, pada Ahad.

Sambil merujuk kepada insiden kemalangan mengorbankan tiga beranak di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, Perak, Jumaat lalu, Wee berharap pindaan undang-undang akan dapat mencegah kejadian sama.




Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, Nurul Huda Arifin, 31, maut di tempat kejadian, manakala suaminya, Abdul Hakim Hashim, 32, serta anak mereka, Adib Aidan Abdul Hakim, 2, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta keluarga itu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda. Siasatan polis kemudian mendapati pemandu pacuan empat roda terbabit dipercayai positif dadah.

"Tragedi kemalangan jalan raya akibat DUI seperti apa yang menimpa Nurul Huda ini mengundang kesedihan yang amat memilukan kepada keluarga mangsa.

"Berita sebegini menguatkan lagi tekad untuk memerangi pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara berbahaya," tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.