Biarpun telah 37 tahun berlalu namun kejadian bertempur dengan pengganas komunis demi mempertahankan negara masih terpahat di ingatannya.

Apatah lagi peristiwa pada 21 Februari 1982 itu meninggalkan kenangan pahit buat bekas tentera Mohd Junoh Mohd Noor, 63, selepas ditembak musuh.

Susulan insiden itu, peluru musuh masih terpahat di tengah-tengah tulang dada warga emas tersebut.

BACA: 'Ibu dirodok dengan lembing!' - Kisah pilu ahli keluarga dibunuh komunis depan mata

Susulan insiden itu, peluru musuh masih terpahat di tengah-tengah tulang dada warga emas tersebut. - Foto Astro AWANI

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata ia pengorbanan paling besar dalam hidupnya bagi mempertahankan negara tercinta.

“(Waktu itu) Saya dengan pasukan saya menjejaki saki baki komunis di sempadan Malaysia-Thailand dengan tidak secara langsung pihak kami bertembung dan bertempur.

“Semasa bertempur dalam lima hingga tujuh minit, komunis pun telah lari. Namun selepas komunis lari saya pun terasa di badan saya. Saya rasa sejuk, tengok ada kesan kena tembak satu di dada satu lagi di peha,” ceritanya ketika ditemui di sini.


Mohd Junoh berkata biarpun nyawa menjadi taruhan, namun anak kelahiran Hulu Terengganu itu bangga dapat berbakti mempertahankan negara.

Mohd Junoh berkata biarpun nyawa menjadi taruhan, namun anak kelahiran Hulu Terengganu itu bangga dapat berbakti mempertahankan negara. - Foto Astro AWANI

Berkongsi lanjut tragedi itu Mohd Junoh berkata dua lagi rakannya turut terkena peluru pada cuping telinga dan belakang leher, namun mereka hanya mengalami luka kecil serta dirawat sebagai pesakit luar.

“Itu kita akan kenang, jaga keselamatan negara tidak kira siang malam kita duduk di sempadan dengan tinggal anak isteri. Kita tidak kisah langsung tetapi ada setengah sekarang ini ada setengah manusia kata askar ini (kerjanya) makan tidur, itulah,” katanya lagi.

Mohd Junoh berkata dia juga berusaha untuk mengeluarkan anak peluru itu dari badannya namun doktor memaklumkan dia berdepan dengan komplikasi berkemungkinan lumpuh.

Justeru dia hanya membiarkan peluru itu terus tertanam dibadannya dan setiap kali sambutan Hari Merdeka peristiwa itu pasti turut dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.