Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihaknya mendapati berlaku angin kencang, hujan dan ribut petir di lokasi berkenaan pada 4 pagi tadi.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 9.45 pagi dan menghantar anggota APM ke lokasi kejadian bagi memantau situasi dan memeriksa paras air.
"Hasil pemantauan lanjut di lokasi mendapati sebuah restoran dan satu pelantar ikan mengalami kerosakan teruk pada lantai susulan ombak besar yang membadai persisiran pantai berkenaan.
"Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) selain keadaan paras air laut telah surut di lokasi tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Fazly turut memaklumkan dijangka air pasang besar berlaku bermula 16 hingga 23 Sept ini dengan paras tertinggi air laut adalah 3.5 meter.
"Saya menasihatkan supaya bot-bot kecil tidak digalakkan ke laut dan orang awam yang duduk di sepanjang atau berdekatan persisiran pantai untuk peka dengan keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu.
"Selain itu, perlu mendapatkan maklumat cuaca, air pasang melalui media massa atau sebarang medium yang sahih serta hubungi talian kecemasan sekiranya berlaku bencana untuk mendapatkan bantuan," katanya.
-- BERNAMA