KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan Pelan Hala Tuju Dasar dan Kewangan Sifar Bersih dikemas kini yang antara lainnya merumuskan peralihan tenaga industri itu mampu dilaksanakan menjelang 2050.

Ketua Pengarah Willie Walsh berkata pelan itu juga dengan jelas menunjukkan usaha penyahkarbonan menjelang 2050 itu berkemungkinan dapat direalisasikan.

"Ia turut menekankan untuk mencapai matlamat ini, semua pihak berkepentingan terutama penggubal dasar, mesti bekerjasama secara meluas dan melakukan tindakan segera.

"Bagi menjayakannya, kita perlukan rangka kerja dasar dan kewangan yang lebih jelas dan menyokong keperluan pengangkutan udara secara realistik dan seiring dengan perubahan besar yang perlu berlaku serentak dalam semua sektor ekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pelan hala tuju yang dikemas kini itu mengandungi analisis mendalam dan turut mengetengahkan keperluan pelaburan bagi peralihan tenaga itu yang disifatkan menyamai pelaburan dalam penciptaan pasaran tenaga boleh baharu sebelum ini.

Selain itu, kejayaan usaha peralihan amat bergantung kepada tujuan penggubal dasar ketika tempoh bekerjasama dalam peralihan tenaga pengangkutan udara dilihat semakin terhad.

"Setiap kelewatan tindakan adalah peluang yang terlepas," kata IATA.

Pelan Hala Tuju Dasar itu menekankan kepentingan penjujukan dasar strategik dan menangani keperluan bagi kerjasama global, termasuk di luar sektor penerbangan.

"Cadangan itu mengakui bahawa tiada satu penyelesaian khusus untuk semua perkara dan dasar mesti memastikan semua negara dapat mengambil bahagian dalam pasaran bahan api penerbangan mampan (SAF) global di masa depan," katanya.

Selain itu, Pelan Hala Tuju Kewangan pula menyenaraikan pandangan terperinci mengenai pelaburan yang diperlukan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 serta kos bagi syarikat penerbangan dalam mendapatkan penyelesaian baharu.

"Bagi mencapai matlamat menjelang 2050 itu, purata perbelanjaan modal tahunan diperlukan untuk membangunkan kemudahan baharu (penapisan biologi) dalam tempoh 30 tahun adalah kira-kira US$128 bilion (US$1=RM4.16) setahun," kata persatuan itu.

IATA mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan yang juga merupakan 83 peratus daripada trafik udara global.

-- BERNAMA