PADANG BESAR: Perlaksanaan projek Perlis Inland Port (PIP) disifatkan tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan antara Malaysia dan Thailand yang dijangka bernilai lebih RM126 bilion menjelang tahun 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan PIP juga bakal menjadi nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley.

Tambahnya, kedudukan negeri Perlis yang strategik di sempadan Malaysia-Thailand memberi banyak kelebihan kepada negeri itu dalam memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.

Ianya susulan nilai dagangan membabitkan kedua-dua negara ketika ini adalah bernilai lebih RM96 bilion yang mana hampir separuh daripadanya iaitu kira-kira RM44 bilion disumbangkan melalui perdagangan antara sempadan. 

Ismail Sabri memaklumkan bahawa PIP turut menjadi cerminan kepada momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden, pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

Situasi itu dilihat mampu menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).


"Ekoran daripada pelancaran PIP, CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan,

"Walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan," katanya.

[TERKINI] Majlis pelancaran Projek Pembangunan PIP


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Perlis Inland Port (PIP) di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Padang Besar, pada Selasa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan projek PIP melalui penyediaan tiga infrastruktur luaran utama iaitu jajaran keretapi, jejambat dan ‘bonded road’ yang membabitkan peruntukan sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Jelasnya, negeri Perlis juga dilihat sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik yang mana ia dibuktikan daripada kenaikan jumlah dagangan melalui negeri Perlis sepanjang tahun 2021 iaitu sebanyak RM7.9 bilion berbanding RM5.4 bilion pada tempoh  sama didalam tahun 2020.

"Penyertaan tenaga kerja pula mencatatkan 64.5 peratus pada suku ke-4 tahun 2021 berbanding 63 peratus bagi tempoh yang sama pada 2020.

"Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA," katanya lagi.