Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia telah berpindah ke pusat pentadbiran persekutuan Putrajaya.

Pejabat baharu PBB terletak di Menara PJH, Presint 2 di sini. Dahulu, Pejabat tersebut terletak di Wisma UN di Damansara Heights, Kuala Lumpur yang beroperasi sejak 1988.

Kompleks baharu itu juga menempatkan Pejabat Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa Bersatu (RCO), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP), Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) dan United Nations University-Administration and United Nations Conference on Trade and Development-Automated System for Customs Data (UNCTAD-ASYCUDA).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semasa perasmian pejabat baharu PBB hari ini berkata Malaysia tetap komited untuk bekerjasama rapat dengan pejabat PBB di semua peringkat bagi memastikan pembangunan dan kemajuan dengan mengambil kira kepentingan nasional negara.

"Malaysia dengan tegas percaya bahawa PBB memainkan penting sebagai platform bagi kerjasama antarabangsa berdasarkan prinsip saling menghormati dan undang-undang antarabangsa," kata beliau.

Sejak menjadi anggota PBB pada Sept 1957, Anifah berkata Malaysia menjadi anggota yang bergerak akitif dalam menegakkan tiga teras sistem PBB iaitu keamanan dan keselamatan; hak asasi manusia dan pembangunan semasa menjadi anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB pada 1965, 1989, 1999-2000 dan 2015-2016.

Malaysia juga telah menyertai misi pengaman PBB sejak 1960 dan setakat ini Malaysia telah menyertai 36 misi pengaman PBB melibatkan penyertaan lebih 35,000 anggota tentera dan polis, kata beliau.

Mengenai perpindahan pejabat PBB ke Putrajaya , Anifah berkata ini akan terus menyumbang ke arah meningkatkan lingkaran rangkaian dan mengukuhkan kerjasama antara kakitangan PBB dan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan Malaysia.

Beliau berkata perpindahan itu juga tepat pada masanya kerana PBB telahpun menubuhkan Pusat Perkhidmatan Bersama Global UNDP di Cyberjaya dan Pusat Perkhidmatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menyediakan perkhidmatan pertadbiran ke semua pejabat WHO di seluruh dunia.

Anifah memberi jaminan bahawa Kementerian Luar akan memberi kerjasama penuh kepada kakitangan PBB sambil berkata Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada bantuan dan kerjasama yang disediakan oleh UNDP dalam melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan.

Terdahulu, Anifah meneria kunjungan hormat daripada Penyelaras Residen PBB bagi Malaysia, Stefan Priesner, Wakil UNICEF Marianne Clark-Hattingh; dan Wakil UNFPA ke Malaysia Marcela Suazo di pejabat beliau di Wisma Putra dan membincangkan pelbagai isu serantau dan multilateral demi kepentingan bersama.

Menurut kenyataan Wisma Putra, semasa kunjungan tersebut, wakil UNICEF dan UNFPA menyampaikan surat tauliah masing-masing kepada Anifah.

-- BERNAMA