RIYADH: Perdana Menteri mengajak semua negara Arab dan Islam untuk membina konsensus ke arah menggantung atau mengusir Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa negara Arab dan Islam untuk mencapai kesepakatan bagi menggantung atau mengusir Israel dari PBB.
  • Anwar mengajak pemimpin dunia dan Islam untuk membantu membina semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel.
  • Sidang Kemuncak Luar Biasa ini dianjurkan di Riyadh untuk menghentikan keganasan Israel dan melindungi orang awam di Gaza dan Lebanon.


Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim dunia mesti menghukum dan menghalang pelanggaran berulang Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa.

“Jika dunia tidak ambil tahu sekarang, keganasan ini tidak akan dapat dibendung lagi, ia akan menyalakan api yang akan mengancam seluruh rantau ini dan seluruh dunia,” kata Perdana Menteri.

Beliau berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab Islam di Riyadh, Arab Saudi.

Turut hadir dan berucap ramai pemimpin negara Islam, termasuk Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Perdana Menteri turut mengajak pemimpin dunia dan Islam untuk mengusahakan agenda bagi membina semula Gaza yang kini musnah dek kegilaan Israel.

“Oleh itu, adalah penting bahawa kita gandakan usaha semasa untuk membantu membina semula Gaza daripada runtuhan kemusnahan,” jelasnya.

Pada masa sama beliau turut menyampaikan mandat Malaysia untuk mengecam keganasan Israel semasa sidang kemuncak ini.

Sidang Kemuncak Luar Biasa ini dianjurkan Arab Saudi untuk mencari penyelesaian bagi menghentikan peningkatan keganasan di Gaza dan Lebanon dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara-negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi.

Matlamat utama termasuk menghentikan serangan Israel, melindungi orang awam, dan menyediakan bantuan kepada kawasan yang terjejas.

Sidang kemuncak ini, juga diadakan dalam konteks pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, yang dilihat sebagai peluang penting bagi negara-negara Arab dan Islam untuk menyatukan pendirian mereka dan mendesak campur tangan antarabangsa bagi menghentikan kegilaan Israel.