KUALA LUMPUR: Seorang peguam mengalami kerugian RM1.3 juta akibat terpedaya iklan pelaburan di media sosial diiklankan oleh sindiket mata wang kripto dikenali sebagai Kakaue Exchange.


Ringkasan AI
  • Seorang peguam kerugian RM1.3 juta akibat terpedaya oleh sindiket mata wang kripto, Kakaue Exchange, yang diiklankan di media sosial.
  • Mangsa tertarik dengan keuntungan palsu yang ditunjukkan di platform pelaburan, namun menghadapi pelbagai halangan ketika ingin mengeluarkan wang. Selain itu, mata wang kripto yang dibelinya tidak ditawarkan oleh bursa kripto lain.
  • JSJK sedang menyiasat lapan kes berkaitan dengan kerugian keseluruhan RM3.5 juta dan 22 akaun bank pelbagai syarikat. Mangsa skim pelaburan ini diminta segera membuat laporan polis, dan orang ramai dinasihatkan merujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat pelaburan kripto.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 57 tahun itu kelmarin.

"Melalui platform pelaburan tersebut, mangsa dapat melihat pelaburannya menjana keuntungan. Namun apabila ingin mengeluarkan keuntungan diperoleh, pelbagai alasan telah diberikan oleh pihak sindiket.

"Pengadu juga curiga apabila mendapati tiga mata wang kripto yang dibelinya melalui platform itu tidak ditawarkan oleh mana-mana exhanger mata wang kripto yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ pada Jumaat.

Tambah beliau, sebanyak lapan kes telah dikesan berkaitan skim pelaburan ini melibatkan nilai kerugian keseluruhan sebanyak RM3.5 juta manakala 22 akaun bank pelbagai syarikat sedang disiasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki menjadi keldai kepada sindiket berkenaan.

Dalam pada itu, pihaknya menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa skim pelaburan ini untuk segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis agar siasatan sewajarnya dapat dijalankan.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang berminat untuk membuat pelaburan matawang kripto perlu ada pengetahuan dan dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk pandangan dan nasihat," katanya.