Peguam Negara tidak membuat keputusannya sendiri sama ada untuk meneruskan pendakwaan atau tidak terhadap seseorang individu, kata Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ni.

Katanya apabila beliau dilantik sebagai Peguam Negara, semua keputusan untuk meneruskan pendakwaan atau tidak adalah melalui jawatankuasa yang turut dihadirinya, Ketua Unit Pendakwaan dan timbalannya.

Sekiranya sesuatu kes itu melibatkan rasuah, katanya, jawatankuasa itu turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ia bukanlah sebuah jawatankuasa tetap, pokoknya saya tidak buat keputusan seorang, saya berbincang. Inilah amalan saya...bagi saya adalah lebih adil untuk berbincang dengan lebih daripada seorang.

"Ini dilatih semasa menjadi hakim, panel tiga hakim adalah lebih baik daripada seorang hakim," kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu kepada pemberita selepas menyampaikan syarahannya di sebuah hotel di sini.

Mohamed Apandi berkata demikian semasa mengulas pendapat seorang pengamal undang-undang, ketika sesi soal jawab, supaya Jabatan Peguam Negara tidak meneruskan pendakwaan bagi kes jenayah seperti mencuri kerana desakan hidup selepas representasi dikemukakan kepada jabatan itu.

Peguam Negara menjelaskan bahawa jabatan itu sentiasa mempertimbang setiap representasi yang dikemukakan peguam bagi mengkaji pertuduhan yang dihadapi anak guam mereka.

"Saya dan jawatankuasa akan mengkaji setiap representasi yang dikemukakan peguam dengan teliti, memang ada yang kita tolak dan ada yang kita benarkan.

Kalau dahulu, memang 100 peratus tolak, saya tahu sebab saya pernah tulis representasi semasa menjadi peguam. Kita akan memberi pertimbangan yang adil," kata Mohamed Apandi.

Beliau berkata sebelum pihak pendakwaan menuduh seseorang, Jabatan Peguam Negara akan memastikan supaya ada lebih daripada 90 peratus keterangan yang mencukupi untuk menyabitkan tertuduh.

Semasa menjawab soalan wakil media, Mohamed Apandi berkata jabatan itu telah menerima permintaan daripada Pejabat Peguam Negara Switzerland bagi mendapat bantuan lanjut berhubung siasatannya terhadap 1Malaysia Development Berhad.

Beliau berkata jabatan itu dalam proses menjawab permintaan itu.

Pejabat Peguam Negara Switzerland dilaporkan telah meminta bantuan lanjut daripada pihak berkuasa Malaysian berhubung siasatan itu.

Terdahulu, Mohamed Apandi yang merupakan Profesor Adjung Pusat Pengajian Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), menyampaikan syarahan bertajuk "Cabaran, Masa Depan dan Harapan Sektor Perundangan di Malaysia di Era Globalisasi" pada majlis jamuan minum petang anjuran UUM.

Dalam syarahannya, beliau berkata Jabatan Peguam Negara melancarkan slogan baharu 'Bertekad Menegakkan Keadilan' bagi mendepani era globalisasi yang semakin mencabar pada 27 Julai lepas sempena setahun pelantikannya sebagai Peguam Negara.

"Slogan ini diaspirasikan daripada falsafah terkandung di dalam ayat 135 Surah An-Nisaa sebagai panduan dalam menjalankan amanah sebagai khalifah di muka bumi," katanya sambil membacakan tafsir Surah An-Nisaa itu.

Mohamed Apandi juga berkata liputan berhubung isu perundangan terutama berkaitan isu Perlembagaan dan jenayah semakin mendapat tempat di alam siber walaupun berita itu ada kalanya berat sebelah dan palsu tetapi sering dianggap sahih dan tepat.

Berikutan itu, katanya ramai pengguna media sosial termasuk pengamal undang-undang, pensyarah dan penuntut undang-undang telah dieksploitasi secara tidak langsung sebagai ejen penyebar maklumat yang tidak tepat dan palsu oleh mereka yang tidak bertanggung jawab dan mempunyai agenda tertentu.

"Tabiat menyebarkan pembohongan menerusi media sosial perlu dihentikan sekarang terutamanya dalam kalangan kita yang terlibat dalam profesyen perundangan.

"Sifat kita yang mudah menghukum sebelum menilai ini ibarat pekung yang akan merebak sedikit demi sedikit dan memamah kewibawaan kita sebagai seorang pengamal undang-undang,"katanya. -- BERNAMA