KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, yang dijadualkan hari ini ditangguhkan kepada 12 Ogos depan.

Memetik laporan Malay Mail, penangguhan prosiding itu dibuat berikutan peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilapor menghidap laringitis.

Menurut peguam Rahmat Hazlan, pihak pembelaan telah menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi untuk memaklumkan tentang keadaan Muhammad Shafee dan perbicaraan petang ini telah dilapangkan.

Beliau berkata, Muhammad Shafee turut menerima sijil perubatan selepas disahkan menghidap laringitis di Hospital Pakar KPJ Damansara pagi tadi.

Laringitis merujuk kepada keradangan kotak suara atau pita suara di kerongkong.

Muhammad Shafee hari ini dijadual menjalankan pemeriksaan balas kepada Arul Kanda.

Najib didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan bekas Perdana Menteri itu dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) serta 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.