Pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan reman susulan kes rasuah digantung sementara daripada tugas sehingga selesai siasatan, ujar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada masa sama, beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

"Pegawai itu akan digantung sementara dan kami akan meletakkan seseorang untuk mengisi (sementara) kekosongan jawatan berkenaan. Penggantungan sementara sehingga selesai siasatan kes," katanya semasa ditemui media selepas majlis Penyerahan Sumbangan Khas kepada 426 asnaf dan kunci PPR MTEN dan PA DBKL kepada 23 keluarga di Dewan Perdana Keramat Mall di sini hari ini.

Jelasnya, kementeriannya sedia bekerjasama dengan SPRM termasuk mendapatkan garis panduan tertentu daripada suruhanjaya itu.

Beliau juga telah mengarahkan Unit Integriti dalam Kementerian Wilayah Persekutuan termasuk DBKL untuk membuat penelitian semula terhadap pemerolehan harta pegawai yang terbaharu.

"Semalam apabila saya mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet, saya telah beritahu kepada semua pegawai-pegawai saya dan saya telah minta KSU supaya bahagian integriti dalam Kementerian Wilayah Persekutuan Bahagian Integriti DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan untuk meneliti semula keputusannya terhadap yang kita dapat ataupun penyerahan harta mereka setiap tahun itu dilihat semula dan saya telah memberi nasihat kepada mereka," tambahnya.

15 Ogos lalu, seorang pegawai kanan (DBKL) bergelar Datuk Seri adalah tiga individu yang ditahan SPRM berhubung kes rasuah, dan penggubahan wang haram.

Individu itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 16 Ogos.

Perintah reman dikeluarkan terhadap suspek berusia 54 tahun oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya.