KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menempatkan pegawai-pegawainya yang fasih berbahasa Mandarin di semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara bagi membantu kelancaran di pintu sempadan, khususnya melibatkan pengembara dari China.

Usaha ini akan diselaraskan bersama pihak pengurusan lapangan terbang antarabangsa seluruh negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan ketersediaan di pintu sempadan negara, sekali gus melancarkan proses kemasukan pengembara dari China.

Menurut Menteri MOTAC Datuk Seri Tiong King Sing, langkah diambil setelah mengambil kira sejumlah besar pengembara dari China yang dijangka memasuki negara selepas sempadan negara itu dibuka semula selepas tiga tahun.

“Bagi menerima dan mengalu-alukan kedatangan pelancong China dengan lebih baik, MOTAC mencadangkan untuk menyediakan laluan mudah di lapangan terbang antarabangsa.

“Ini bukan sahaja untuk kelancaran, tetapi juga dapat menyingkatkan proses ketibaan,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Katanya, selain mempercepat proses pemeriksaan kastam tanpa menjejaskan pengembara dari negara lain, langkah ini juga dapat “menonjolkan sifat mesra Malaysia” dalam mengalu-alukan kedatangan pengembara dari China.

“Pada masa sama, ia juga tetap mengambil kira tahap kesihatan dan keselamatan pengembara dari China serta menghapuskan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia dalam mengetatkan SOP di pintu masuk negara,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen kerana bersetuju untuk memudah dan mempercepatkan proses kemasukan pengembara yang memasuki negara, serta mempercepatkan proses pemeriksaan kastam.

Sebelum ini, King Sing meminta orang ramai supaya mengelakkan memberi komen negatif di media sosial berhubung kemasukan pelancong dari China susulan pembukaan semula pintu sempadan negara itu bermula 8 Januari.

Jelasnya, saranan itu bagi memelihara hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.

Selain Malaysia, kebanyakan negara di Asia Tenggara, termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand turut tidak menguatkuasakan sekatan terhadap pengembara dari China, seperti mana yang dilaksanakan oleh kerajaan di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun.