PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam bersetuju untuk mewujudkan portal perkongsian maklumat dan perkongsian tenaga pakar menerusi penempatan pegawai PDRM di MCMC.

Perkara itu dimuktamadkan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Induk PDRM-MCMC semalam yang dipengerusikan bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan agar lebih pantas dan berkesan.

Dalam kenyataan bersama PDRM dan MCMC yang dikeluarkan sempena mesyuarat semalam menyatakan mesyuarat turut menjurus kepada pemantapan tindakan dalam aspek siasatan, operasi, pencegahan jenayah dan pentadbiran.

Kenyataan bersama itu menyatakan PDRM dan MCMC terus mengukuhkan jalinan kerjasama dalam membanteras jenayah serta melindungi masyarakat bagi memastikan ekosistem digital sentiasa selamat untuk pengguna.

"Pengukuhan kerjasama ini merupakan komitmen sepenuhnya kedua-dua agensi dalam usaha membanteras jenayah bagi melindungi pengguna Internet dalam negara termasuk dalam isu berkaitan ketenteraman awam di media sosial," menurut kenyataan bersama itu.

-- BERNAMA