Sekurang-kurangnya setahun diperlukan oleh pasukan penyiasat antarabangsa untuk mendapatkan bukti dan membawa mereka yang bertanggungjawab dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 ke muka pengadilan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin menyatakan demikian pada persidangan Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan pada Selasa.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan tragedi pesawat MH17, Hamzah berkata masih terlalu awal mencari bukti siapa yang terlibat walaupun bangkai pesawat telah dikeluarkan pasukan penyiasat baru-baru ini.

Pesawat itu yang membawa 298 orang dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Usaha mengeluarkan bangkai pesawat itu dimulakan pada 16 Nov dan pasukan penyiasat menemui beberapa serpihan di tapak nahas yang kemudiannya dibawa keluar untuk siasatan lanjut.