KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini memaklumkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di Selatan Lubnan, berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kerosakan aset berlaku.

Beliau berkata kesemua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan, telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

"Mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal.

"Sebarang perancangan untuk penarikan balik pegawai dan anggota pasukan MALBATT 850-11 ke Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di dalam kawasan operasi," katanya dalam kenyataan.

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan mengemas kini sebarang perkembangan yang melibatkan pasukan MALBATT 850-11.

Sejak 23 Sept lepas, tentera Israel telah melancarkan serangan udara intensif yang belum pernah berlaku ke atas Lubnan.

Sejak 8 Okt 2023, Hizbullah dan tentera Israel saling berbalas serangan di sempadan Lubnan-Israel di tengah-tengah kebimbangan konflik lebih meluas ketika konflik antara Hamas dan Israel berterusan di Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA