JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket mengedar dan memproses dadah selepas menahan sepasang kekasih serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan berasingan di sini dan Iskandar Puteri pada 17 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata serbuan antara 3.30 petang hingga 11.30 malam itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan dan Balai Polis Setia Indah.

Beliau berkata lelaki warga asing berusia 31 tahun yang juga dalang sindiket itu ditahan di sebuah rumah di Eko Flora, manakala kekasihnya yang merupakan wanita tempatan berumur 38 tahun pula ditahan di tepi jalan di Setia Indah.

"Modus operandi sindiket, dipercayai aktif mengedar bagi pasaran tempatan dan negara jiran sejak Mei lepas itu, adalah dengan menggunakan premis disewa di kawasan berpagar dan berpengawal untuk proses dadah dari bahan mentah serta ada kepakaran untuk memprosesnya.

"Mereka juga dipercayai menghasilkan cecair rokok elektronik (vape) yang mengandungi dadah serta mengedar dadah dalam kuantiti kecil menerusi ahli sindiket yang bertindak sebagai orang suruhan (runner)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata pelbagai jenis dadah ditemukan di sebuah rumah teres dan apartmen di daerah ini, terdiri daripada 40 peket serbuk ekstasi, 20.21 liter cecair ekstasi, tujuh pil erimin 5, 42 pil ekstasi, 40 biji pil epam nitrazepam dan 2,600 gram syabu.

Beliau berkata pihaknya turut merampas peralatan memproses dadah serta prekursor yang digunakan dalam memproses dadah serta menyita sebuah kereta, wang tunai RM131,598, barang kemas, wang tunai dolar Singapura (SGD100) serta tiga akaun bank dengan keseluruhan sitaan bernilai RM630,596.

Dalam pada itu, beliau berkata lelaki tersebut dipercayai mempunyai kepakaran memproses dadah daripada bahan-bahan berjadual termasuk metanol dan asid sulfat sekali gus siasatan bagi mengesan bagaimana bahan tersebut diperoleh akan dijalankan.

Menurutnya lelaki itu juga didapati positif dadah jenis MDMA dan wanita itu positif BZD namun kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mereka direman 14 hari bermula 18 Ogos mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA