KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi mempertikaikan kadar kemiskinan tegar dalam negara yang didakwa telah menurun kepada 18,000 isi rumah ketika ini.

Ahli Parlimen Pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu, disifat sebagai mengelirukan.

"Dia (Perdana Menteri) dakwa miskin tegar sekarang hanya tinggal sekitar 18,000. Ini kenyataan yang amat mengelirukan dan kita rujuk pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Febuari lalu, beliau ada menyebut jumlah miskin tegar 300,000 orang .

"Daripada kenyataan media dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) bertarikh 16 Julai 2023, disebut jumlah miskin tegar yang menerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah) adalah 210,000.

"Tiba-tiba daripada Julai sehingga Oktober, Perdana Menteri sebut tinggal 18,000 miskin tegar. Saya amat meragui kenyataan ini dan sangat tidak munasabah daripada jumlah itu (dalam tempoh) empat bulan telah tinggal 18,000," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha menoktahkan kadar kemisikinan menunjukkan kemajuan selepas data terkini menyaksikan kadar kemiskinan tegar merudum.

Perdana Menteri berkata, ini berikutan daripada angka satu peratus miskin tegar yang direkodkan pada 2020, menurun kepada 0.2 peratus atau hanya 18,000 isi rumah ketika ini.

Mengulas lanjut, Zulkafperi berkata kumpulan mereka yang dikategorikan dalam miskin tegar kemungkinan meningkat susulan golongan T20 telah dilaporkan jatuh kepada kumpulan B40.

"Jadi saya amat meragui dan menyangkal kenyataan beliau. Kita minta beliau kemukakan fakta-fakta atau formula yang jelas, bagaimanakah beliau menurunkan daripada Julai seramai 210,000 miskin tegar sehingga 18,000 orang," tambahnya.

Sementara itu, beliau turut membidas tindakan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang bertindak menafikan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu, untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dakwa beliau, perkara tersebut jelas ditulis dalam manifesto parti berkenaan.

"Di sini saya ingin menjelaskan perkara ini supaya tidak diulang oleh Hulu Langat dan membuat bising di dalam dewan.

"Manifesto PH untuk menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) (disebut) di bawah reformasi pendidikan bertajuk Janji Kita di bawah penghapusan hutang PTPTN ini jelas manifesto PH," katanya.