Empat nelayan tempatan mengambil masa sejam setengah untuk menaikkan ikan pari daun seberat 280 kilogram dengan lebar empat meter bersamaan berat badan lima orang dewasa di Muara Sungai Lundu di sini petang Khamis.

Nelayan Azeri Hipni 42, dari Kampung Stunggang Lundu ketika dihubungi berkata, dia bersama-sama tiga rakannya memasang pukat di sungai berkenaan awal pagi semalam sebelum menjerat pari gergasi itu.

"Kami mengambil masa sejam setengah untuk bertarung dengan pari berkenaan dan akhirnya ia tewas sebelum dibawa ke Jeti Nelayan Lundu," katanya.



Menurutnya mereka biasa mendapat ikan-ikan pari bersaiz besar tetapi ini kali pertama pari gergasi itu terjerat dalam pukat mereka.

Azeri menambah, dia dan rakan-rakan kepenatan kerana ikan itu terlalu besar bagaimanapun gembira kerana ia dianggap rezeki yang tidak diduga ketika Ramadan.



Lundu yang jauh kira-kira 80 minit perjalanan dari pusat bandar Kuching dihuni sekitar 36,000 penduduk.

Bagaimanapun, sejarah asal usul nama Lundu tidaklah begitu jelas.

Ramai yang percaya bahawa daerah tersebut mendapat nama dari Sungai Lundu yang di mana terdapatnya ikan lundu atau nama saintifiknya mystus nigriceps.