Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata usaha itu bertujuan mengelakkan lambakan penyelidikan yang tidak dimanfaatkan sekali gus dapat memastikan kajian akademik diintegrasikan dalam masyarakat seterusnya dikomersialkan.
"Kita mahu penyelidikan dijalankan di universiti dapat diklasifikasikan mengikut kluster yang boleh diaplikasikan untuk kegunaan masyarakat dan komersial.
"Ini selaras dengan penekanan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi 'Talk to Us' di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.
Mustapha berkata pemberian geran kepada pensyarah akan dipantau dengan ketat selepas ini bagi memastikan penyelidikan mereka memenuhi keperluan universiti dan industri.
Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata KPT menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 untuk setiap keluarga tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan malam tadi.
"Kami amat berdukacita dengan kejadian tersebut.
"Bagi pihak kementerian kami menyampaikan salam takziah kepada keluarga tiga pelajar ini, kita urus pengebumian untuk kebajikan, dan kita memang buat yang terbaik termasuk akan bantu menyediakan sesi kaunseling kepada keluarga mangsa," katanya.
-- BERNAMA