Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Parlimen hari ini tidak lagi demokratik berbanding semasa beliau menjadi perdana menteri.

Pandikar Amin berkata semua anggota Parlimen sekarang yang menyertai sesi perbahasan berpeluang mengemukakan hujah masing-masing tanpa sebarang gangguan mengikut peraturan mesyuarat.

"Misalnya, anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli (daripada PKR) berhujah selama 30 minit mengikut peruntukan masa diberikan dan beliau berucap tanpa gangguan daripada saya dan timbalan saya.

"Begitu juga dengan anggota Parlimen lain yang berhujah sekiranya mereka berhujah mengikut peraturan mesyuarat, tapi kalau mereka berhujah tidak mengikut peraturan, speaker akan suruh berhenti atau diganggu anggota Parlimen lain," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Pandikar Amin kemudian menyingkap kembali peristiwa pada 1998 mengenai satu usul yang dibawa oleh Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang daripada DAP berhubung kes kerugian Perwaja Steel Sdn Bhd berjumlah RM10 bilion.

Bagaimanapun, menurutnya, usul itu ditolak oleh Tun Zahir Ibrahim, Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, dan ia berlaku pada zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

"Saya yakin perkara ini turut diingati oleh Kit Siang yang membuat usul itu di Dewan Rakyat," katanya.

Selasa lepas, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hadir ke Parlimen bagi menghadiri mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota Parlimen yang turut dihadiri barisan pemimpin dan anggota Parlimen pembangkang.

Pandikar Amin berkata beliau menerima undangan untuk menghadiri mesyuarat itu daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah tetapi menolaknya kerana statusnya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selain ia lebih untuk pembangkang.

"Ketika itu (mesyuarat) adalah antara parti pembangkang, untuk tujuan apa saya hadir? Dialog dengan Tun Mahathir, bertegang urat, sebut perkara-perkara yang menyakitkan (hati) orang tertentu, itu sebab saya tidak hadir," tegasnya. -- BERNAMA