Kakitangan kerajaan di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang digemparkan dengan kejadian lantai bangunan di tingkat 61 dilimpahi air berikutan paip pecah di bangunan itu pada tengah hari Jumaat.

Ekoran kejadian itu, semua pekerja di tingkat berkenaan diminta supaya mengosongkan sementara kawasan berkenaan sehingga kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Difahamkan kejadian sekitar pukul 12.25 tengah hari itu berlaku ketika pihak pengurusan bangunan Komtar iaitu, PDC Setia Urus Sdn Bhd sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaran di tingkat berkenaan.

Video air melimpah dari bangunan Komtar menuruni tangga itu mula tular di laman sosial sebaik kejadian berkenaan berlaku.

Bagaimanapun, keadaan dilaporkan terkawal dan pihak pengurusan sedang membaiki paip pecah tersebut.


Sementara itu, PDC dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian berlaku ketika kontraktor yang dilantik pihaknya sedang menjalankan kerja penggantian sistem kebakaran di tingkat 61.

Secara tidak sengaja, kontraktor berkenaan telah membuka penutup paip tanpa menutup bekalan air utama terlebih dahulu menyebabkan air meledak dan paip pecah.

Kenyataan itu berkata, tekanan yang kuat menyebabkan paip pecah dan air melimpah menuruni tangga ke tingkat bawah.

Jesteru, sebagai langkah berjaga jaga pihak pengurusan telah menutup semua suis utama termasuk lif di bahagian tinggi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Keadaan juga, kata kenyataan itu, kembali pulih sekitar pukul 2 petang tadi.

Semua kakitangan kembali ke pejabat masing-masing sementara premis perniagaan kembali beroperasi seperti biasa.