AMPANG: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Mega Jaya di sini dipercayai berpunca daripada kebocoran paip air bawah tanah.

Insiden itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.48 petang, Jumaat.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian dan telah mengerahkan anggota untuk meninjau kawasan yang terkesan.

Menurut Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 3 petang.

"Pemeriksaan mendapati tanah runtuh dianggarkan ketinggian 30-meter yang kemungkinan disebabkan oleh kebocoran paip di bawah tanah.

"Terdapat sebuah rumah terletak paling hampir iaitu kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

"Namun, kejadian runtuhan itu tidak mengakibatkan kerosakan struktur rumah dan tiada mangsa dilaporkan," jelasnya dalamsatu  kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pihak bomba akan terus memantau sekiranya terdapat sebarang pergerakan tanah di lokasi.

Susulan itu juga, pihak Indah Water Konsortium (IWK) telah dimaklumkan mengenai kejadian dan sedang melakukan penyelenggaraan.

Ini bukan kali pertama kejadian seumpama berlaku, malah tanah runtuh pernah dilaporkan berlaku pada 2013 serta 2022 di sekitar kawasan sama.