KUALA LUMPUR: Pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) Malaysia telah menghantar bantuan ke Wilayah Bicol di selatan Luzon, Filipina, yang dilanda banjir teruk susulan Taufan Tropika Kristine (Trami).

Dalam satu kenyataan media, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa pasukan HADR Malaysia, terdiri daripada 16 kru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), berlepas dari Pangkalan Udara Villamor di Manila pada pukul 9 pagi Isnin menuju ke kawasan Bicol untuk menghantar bekalan bantuan.

Ia berkata misi kedua yang dijadualkan pada pukul 1.30 tengah hari Isnin telah dibatalkan akibat cuaca buruk.

"Pasukan akan meneruskan operasi bantuan esok (Selasa), dengan jadual penerbangan pada pukul 7 pagi dan 12 tengah hari.

"Pasukan HADR melaporkan bahawa kebanyakan kawasan Bicol masih ditenggelami banjir. Walau bagaimanapun, keadaan semasa membolehkan operasi berjalan dengan selamat," menurut kenyataan media itu.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa pasukan HADR Malaysia tiba dengan selamat di Pangkalan Udara Villamor di Manila pada 26 Okt. Pasukan itu disambut oleh Setiausaha Pertahanan Nasional Filipina Gilberto Teodoro Jr, Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castellino, Atase Pertahanan Malaysia ke Filipina Kol. Ahmad Jafri Zulyadai, serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Manila.

Kementerian Luar dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Tentera Malaysia, terus memberikan bantuan kepada Filipina susulan Taufan Tropika Kristine (Trami).

Sementara itu, kementerian memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Manila, dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia turut memudah cara kutipan sumbangan daripada perniagaan Malaysia dan pegawai kedutaan.

"Bahan makanan asas, termasuk beras dan makanan dalam tin, telah disumbangkan kepada Palang Merah Filipina dan Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan pada 25 Okt," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Ketua Staf Angkatan Tentera Filipina (PAF) telah mengadakan satu sesi untuk menyatakan penghargaan kepada negara-negara yang memberikan bantuan, termasuk Malaysia, Brunei dan Singapura pada Isnin.

Ketua Staf PAF secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas penghantaran satu helikopter EC725 dan kru, serta menyatakan penghargaan kepada Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Udara Diraja Brunei, atas sokongan pantas dan penting mereka.

Taufan Tropika Kristine membawa hujan lebat, menyebabkan banjir besar, tanah runtuh dan perpindahan besar-besaran penduduk di kawasan yang terjejas.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Nasional Filipina (NDRRMC) memaklumkan bahawa jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang dahsyat akibat Taufan Kristine telah meningkat kepada 116, dengan sekurang-kurangnya 39 orang masih hilang, lapor Xinhua.

-- BERNAMA