Serbuan pada jam 11.30 pagi itu dijalankan sepasukan Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan di sebuah kediaman itu bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.
"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui satu batang disyaki gading gajah yang telah diukir, lima sangkar disyaki terdapat bahagian hidupan liar, seekor kura-kura dipercayai spesies Pig Nosed Turtle, satu pemegang sangkar disyaki gading gajah serta dua bahagian tanduk hidupan liar yang telah diukir.
"Kita turut merampas beberapa laras senjata api dan peluru," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek menyimpan hidupan dan anggota badan hidupan liar tanpa kebenaran.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM275,720.
"Soal siasat awal suspek mendakwa memiliki gading gajah yang diperolehnya dari China sebagai perhiasan dan lambang kemegahan," ujarnya.
Tegas Abdul Kadir, suspek yang bekerja sendiri itu disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Akta Senjata 1960.
Tambahnya, Jabatan Perhilitan memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan kegiatan jenayah hidupan liar agar menghentikan serta-merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.
"Kita menyeru keprihatinan dan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah hidupan liar dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti negara ini agar tidak diancam kepupusan," katanya. - Sinar Harian