Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Jabatan Audit Negara membuat satu laporan terperinci mengenai isu-isu berbangkit berhubung projek Replikasi Model Penternakan Akuakultur Bersepadu (IZAQ) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin berkata pengesahan terhadap beberapa fakta perlu dibuat seperti pinjaman Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), sama ada ia adalah pinjaman atau pun pinjaman boleh ubah kepada geran kerajaan bagi mengelak kekeliruan.

"Oleh itu, pihak kementerian, NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) dan NCIA diharap dapat memberi maklumat yang jelas dan tepat kepada pihak Jabatan Audit Negara," katanya dalam kenyataan berhubung laporan PAC mengenai projek itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya isu mengenai projek tersebut dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri Kedua yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat, 15 Jun lepas.

Jelasnya, pada 1 Nov 2016, PAC telah memanggil prosiding terhadap isu tersebut dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan telah memberikan penjelasan berhubung isu berbangkit.

"Pada prosiding itu, antara isu yang dibangkitkan PAC adalah perolehan dua sumber pembiayaan projek penternakan udang di Kompleks Akuakultur Selinsing dan Kompleks Akuakultur Pulau Gula, Kerian oleh Hannan Corporation Sdn Bhd.

"Pihak syarikat telah membuat tuntutan bagi beberapa komponen yang sama daripada dua agensi iaitu NCIA dan NKEA. Syarikat juga didapati tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman berkaitan industri perikanan," kata Hasan.

Hasan yang juga anggota Parlimen Rompin menjelaskan PAC bersetuju dengan cadangan Jabatan Audit Negara untuk melantik pihak ketiga bagi menilai semula kos projek serta tuntutan oleh Hannan Corporation Sdn Bhd.

"PAC mahu prosedur operasi standard (SOP) sedia ada disemak dan ditambah baik bagi memastikan peraturan kerajaan sentiasa dipatuhi. PAC akan meneliti laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya. -- Bernama