KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga siling bagi vaksinasi COVID-19 apabila vaksin Sinovac dijual kepada rakyat.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, penetapan harga siling yang meliputi harga vaksin oleh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) dan caj yang dikenakan oleh klinik atau hospital swasta adalah perlu agar harga vaksinasi tidak membebankan rakyat.

Tambah beliau, adalah penting supaya harga siling itu ditetapkan dan diumumkan dengan segera.

"PAC mengambil maklum bahawa kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin COVID-19 di pasaran terbuka bermula pada Ogos depan.

"Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan COVID-19 sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding dengan harga yang sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berhubung prosiding Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya pula, Kah Woh berkata, PAC akan meneruskan prosiding berkenaan dengan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Rabu.

Ia kemudian akan diteruskan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu depan.

PAC sebelum ini, turut mendengar penjelasan daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Prosiding tersebut menggunakan punca kuasa daripada Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan PAC memeriksa apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa itu patut diperiksa.