PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menumpukan usaha pada mempertingkatkan aset dan kebajikan pasukan keselamatan di bawah kementerian itu menerusi Belanjawan 2025, kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam sidang media selepas sesi libat urus Belanjawan 2025 bersama pihak berkepentingan di sini hari ini, beliau berkata keupayaan aset pasukan seperti Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia semestinya menjadi tumpuan utama setiap tahun untuk dipertingkatkan.

Saifuddin Nasution berkata aspek kebajikan warga KDN pula diberi tumpuan kerana hal itu akan meningkatkan moral dan motivasi anggota yang bertugas di lapangan.

"Aspek kebajikan adalah aspek yang saya tekankan pada bajet tahun lepas dan saya akan teruskan lagi. Pada tahun lepas, kami berjaya memulihkan hampir 151 pos hadapan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Sejumlah kuarters dapat kami baik pulih dengan memanfaatkan peruntukan sekitar RM300 juta...kemudian kami juga dapat menyelesaikan isu perumahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Pantai Timur Sabah," katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera".

Saifuddin Nasution berkata fokus khusus turut diberikan terhadap Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (MCBA) yang merupakan agensi baharu di bawah KDN.

"Sebagai agensi baharu tentunya kami kena merangka belanjawan yang sesuai dengan operasinya dalam fasa pertama yang sudah digerakkan pada Mei lalu sehingga sekarang.

"Kami akan memberikan tumpuan khusus kepada menguatkan MCBA supaya tahun pertama itu adalah tahun yang akan menyaksikan sekurang-kurangnya selesai dari segi perjawatan, keupayaan aset," katanya.

Mengenai MCBA, beliau berkata beberapa pintu masuk negara akan menjadi projek perintis buat agensi itu meliputi Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Esok, saya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di Rantau Panjang-Golok yang juga antara pintu masuk yang termasuk dalam projek perintis MCBA.

"Ia akan dibincangkan dalam pertemuan bilateral antara Perdana Menteri dan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin," katanya.

Anwar dan rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin akan melakukan lawatan kerja ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Malaysia esok untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

Menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, projek itu satu daripada inisiatif utama dalam kesalinghubungan sempadan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA