GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor di sini mendakwa mengalami gangguan rangkaian telefon dan capaian internet yang lemah menyebabkan mereka berdepan kesukaran berhubung terutama ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor Dendi Johari berkata situasi tersebut mengakibatkan capaian internet menjadi terhad serta tidak dapat digunakan secara menyeluruh oleh penduduk.

Beliau berkata ketika ini terdapat satu pemancar telekomunikasi serta tiga menara Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Kampung Jader, Kampung Dangdut dan Pos Simpor.

"Internet sedia ada tidak dapat berfungsi dengan baik terutamanya ketika cuaca ribut atau hujan. Kami terpaksa berdepan masalah ini sudah beberapa tahun jadi kita harap agensi berkaitan mengambil tindakan untuk atasi masalah ini.

"Kami berharap kuota capaian internet di Kampung Sedal dan Kampung Penad dapat dinaik taraf serta dapat ditambah lagi pemancar telekomunikasi yang baharu untuk memenuhi keperluan di sini yang hanya dapat membuat dan menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Seorang penduduk Rofiah Pandak berkata dia bimbang kerana masalah komunikasi terhad ini akan mendatangkan kemudaratan apatah lagi dalam keadaan monsun timur laut ketika ini.

"Kita risau terperangkap dalam kampung ketika musim hujan ini dan tidak dapat berhubung dengan masyarakat luar untuk meminta pertolongan ketika berlaku kecemasan.

"Keadaan jalan balak buat masa sekarang juga menjadi bertambah buruk. Minggu lepas kenderaan yang membawa pelajar dari Pos Gob ke sekolah tersangkut ketika dalam perjalanan, kita takut juga kejadian itu berlaku kepada anak-anak di Pos Simpor tetapi kita tidak dapat makluman disebabkan gangguan internet ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Kelantan Abdul Mubin Mohd Zain berkata pihaknya mengambil maklum tentang permasalahan dialami masyarakat di pedalaman itu.

"MCMC akan buat siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca masalah ini. Ia mungkin boleh disebabkan oleh faktor perubahan cuaca dan pakej sedang dilanggani oleh pengadu," katanya.

-- BERNAMA