KUALA KRAI: Hujan berterusan sejak dua hari lepas menyebabkan rata-rata penduduk yang menetap di kawasan rendah di Kuala Krai terutama berhampiran sungai bersiap sedia untuk berdepan gelombang keempat banjir di negeri ini.

Penduduk dari Kampung Kebun Pisang di Chenulang, Siti Zulaika Awang, 25, berkata kawasan sekitar rumahnya mudah dinaiki air kerana berhampiran sungai dan apabila hujan lebat berterusan dia telah bersiap sedia dengan meletakkan peralatan dan barangan keperluan rumah ditempat yang lebih tinggi serta selamat sekiranya berlaku banjir.

"Rata-rata penduduk di sini memang dari awal sudah sedia berdepan dengan gelombang banjir yang seterusnya sebab rumah kami berdekatan dengan sungai.

"Jika air sungai mula melimpah, kami akan segera untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang," katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu, Ain Syafiqah Mohd Zuki, 25, pula berkata dia terpaksa menggunakan perkhidmatan bot untuk pergi ke tempat kerja kerana pengangkutan feri yang sering digunakan olehnya tidak dapat beroperasi kerana paras air sungai Kelantan di Kampung Pasir Kelang mula meningkat.

"Pagi ini saya terpaksa masuk lewat sikit ke tempat kerja sebab bot yang kami guna perlu mengutamakan pelajar sekolah terlebih dahulu untuk menyeberangi Sungai Kelantan kerana paras air menunjukkan trend peningkatan.

Apabila hujan lebat, feri yang selalu kami guna tidak boleh beroperasi kerana bimbang akan berlaku perkara yang tidak diingini sewaktu menyeberangi sungai berkenaan," katanya.

Tinjauan Bernama turut mendapati beberapa penduduk telah mula mengalih kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat untuk mengelak daripada sebarang kejadian yang bakal menimpa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di Terengganu dan sembilan lokaliti di Kelantan sehingga esok.

Antara kawasan terlibat di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

-- BERNAMA