Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata bagaimanapun permohonan kos tambahan tersebut telah dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan dan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam masa terdekat.
"Semasa sesi taklimat semalam bersama Pengarah JKR Kelantan Mohd Suhaili Ismail dan Unit Projek Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 1 JKR serta Roadcare (M) Sdn Bhd, saya difahamkan JKR masih memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM3.75 juta bagi membaiki kerosakan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai (FT08).
"Oleh itu, saya akan beri komitmen bersama JKR negeri untuk mohon pertimbangan daripada KKR supaya dapat luluskan permohonan ini memandangkan ia keperluan mendesak rakyat," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berkata projek penyelenggaraan Jalan Gua Musang-Kuala Krai sepanjang 95 kilometer (km) telah bermula pada Mei hingga Oktober tahun lepas yang menelan kos sebanyak RM8 juta di beberapa lokasi berbeza, namun kos tambahan ini diperlukan untuk tujuan pembaikan berterusan bagi menjamin keselamatan pengguna.
-- BERNAMA