Biarpun pengasingan sisa pepejal secara mandatori belum dilaksana sepenuhnya, penduduk di sekitar kawasan perumahan di Presint 18, Putrajaya telah mula mengamalkan budaya itu secara sukarela.

Ia sekaligus menjadikan penerimaan terhadap penguatkuasaan bermula September itu lebih terbuka, malah dialu-alukan.

Tinjauan Ops Mata Hati bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) baru-baru ini, mendapati rata-rata penduduk di kawasan tersebut telah mula mengasingkan sisa pepejal mereka di rumah.

Salah seorang penduduk, Shaqila Abdul Ghani berkata ia hanya melibatkan langkah mudah seperti mengasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

"Saya mempunyai tiga orang anak, apa yang saya lakukan adalah memesan agar mereka mengasingkan bahan boleh dikitar semula seperti bekas plastik supaya dimasukkan dalam satu beg plastik."

"Manakala bahan lain seperti kertas pula dimasukkan dalam beg plastik berasingan. Selepas semua beg itu penuh, saya akan ikat beg-beg plastik berkenaan dan meletakkannya di tepi tong sampah di luar rumah saya." katanya.

Bagi keluarga Shaqila, bukan hanya mereka sudah biasa melakukan pengasingan sisa pepejal di rumah, malah kini ia menjadi satu kemestian di rumahnya.

[INFOGRAFIK]:
Kitar semula sisa makanan: Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan


"Memang dari dahulu sehingga sekarang, kami melakukan pengasingan sisa di rumah. Setakat ini, memang tiada masalah, malah saya suka melakukannya kerana saya tidak suka melonggokkan sampah dalam satu beg plastik, saya lebih suka mengasingkan mereka." ujarnya lagi.

Bagi Umi Kalsom yang terdedah kepada konsep itu apabila menetap di luar negara pula, langkah penguatkuasaan pengasingan sisa di negara ini amat dialukan.

"Sebelum ini kami sekeluarga pernah menetap di luar negara. Jadi kami sudah lama terdedah kepada konsep ini biarpun di Malaysia, ia merupakan perkara baharu."

"Ia merupakan suatu langkah yang bagus dan wajar dilaksanakan. Kita perlu mendidik anak-anak muda agar turut sama terlibat dalam usaha ini." kata Umi.

Bagi Nor Aishah Jidin pula melihat tiba masanya, Malaysia melaksanakan pengasingan sisa pepejal di rumah dalam usaha menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

"Saya rasa pengasingan bahan sisa seperti ini harus bermula sekarang kerana terlalu banyak sampah-sampah yang tidak diasing, mendatangkan banyak masalah."

"Di negara-negara maju, mereka telah lama melaksanakan budaya pengasingan bahan seperti ini. Tiba masanya Malaysia turut berbuat demikian demi kelestarian alam." katanya.

Bagi penduduk yang belum melaksanakan pengasingan sisa pepejal, mereka akan diberi notis peringatan mesra sebagai persediaan menjelang pelaksanaan pengasingan sisa pepejal secara mandatori.

Amalan pengasingan sisa pepejal di rumah

Biarpun pengasingan sisa pepejal dipunca lama dilaksanakan di negara-negara maju, persoalannya, adakah rakyat Malaysia sudah bersedia?

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ab Rahim Md Noor membuktikan ia dapat dilaksanakan dengan mudah kerana beliau sendiri telah lama mengamalkannya.