PASIR MAS: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM7 juta dalam tempoh sebulan Op Wawasan dijalankan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 21 Mac lepas.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata antara barangan yang dirampas adalah minuman keras, rokok, barangan runcit dan makanan sejuk beku yang diseludup dari Thailand untuk memasuki pasaran negara ini.

"Barangan seludup seperti mercun turut banyak dirampas dengan melibatkan 16 serbuan dan 11 tangkapan dilakukan.

"Oleh itu, secara keseluruhan PGA7 berjaya merekodkan 137 kes dan rampasan dengan melibatkan penahanan 251 individu dengan jumlah rampasan pelbagai jenis barangan seludup dianggarkan berjumlah RM7,063,205.88," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama pegawai dan anggota dari Markas Taktikal Lubok Setol, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Azhari berkata taktik menggunakan pelbagai jenis kenderaan mewah antara modus operandi penyeludup untuk menyeludup masuk pendatang tanpa izin dan barangan mercun bagi mengaburi mata penguat kuasa.

"Taktik ini digunakan bagi melakukan kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin dan mercun dengan menggunakan kenderaan mewah seperti kereta jenis Toyota Alphard, Hyundai Starex dan Ford Ranger untuk meloloskan diri daripada sekatan pihak penguat kuasa.

"Pihak kami telah membuat 19 laporan polis melibatkan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 melibatkan tangkapan keseluruhan seramai 151 individu," katanya.

Beliau berkata beberapa strategi seperti pemeriksaan sekatan jalan raya di laluan utama dan kekerapan pemantauan di kawasan panas dengan meletakkan anggota secara statik dalam tempoh 24 jam berjaya mematahkan cubaan penyeludup untuk meloloskan diri.

"Selain itu, kita juga turut mewujudkan pasukan pemantau di setiap sektor penugasan sebagai pasukan serbuan dan menggunakan teknologi dron untuk mengesan aktiviti penyeludupan," katanya.

-- BERNAMA